Internet : Selamat atau Tidak?
20 Julai 2022 | Aktiviti TerkiniPada 19 Julai 2022, Klik Dengan Bijak telah menganjurkan satu program pengkongsian yang bertajuk “INTERNET : SELAMAT ATAU TIDAK?”. Puan Fadzilah Mazlina Mohammad iaitu Penolong Pengarah dari Pejabat MCMC Negeri Terengganu merupakan penceramah didalam program ini. Program ini berlangsung di live Facebook Klik Dengan Bijak.
Internet telah digunakan secara meluas diseluruh dunia. Ia membawa pelbagai impak kepada setiap pengunanya. Ia dilihat sebagai salah satu dari alat komunikasi yang membantu mempercepat komunikasi, memudahkan perhubungan dan maklumat boleh didapatkan secara meluas. Ia telah menjadi salah satu keperluan utama masyarakat untuk menjalankan tugas harian mereka.
Pada masa sekarang, penipuan dalam talian telah banyak berlaku. Sebanyak 51,631 kes penipuan dalam talian telah dilaporkan sejak dari 2019- 2022, yang mana dianggarkan kerugian sebanyak RM1.61 bilion. Antara punca berlakukan penipuan dalam talian ini adalah sikap tamak manusia, mudah percaya dan terperdaya, sikap yang cepat panik dan kurang berhati-hati serta sukar untuk mengenalpasti siapakan penjenayah. Antara jenis penipuan dalam talian adalah seperti penipuan melalui panggilan telefon (Macau Scam), penipuan jual beli barang di internet dan phishing.
Peserta turut diingat kan supaya berwaspada dari menjadi mangsa keldai akaun. Ia adalah satu aktiviti yang mana akaun bank seseorang itu digunakan oleh orang lain tanpa disedari ataupun secara sukarela oleh pemilik akaun tersebut bagi mendapatkan habuan mahupun dengan cara penipuan untuk transaksi kewangan yang tidak sah atau menyalahi undang-undang.
Antara panduan dalam menghadapi penipuan dalam talian ini adalah setiap indivdu perlu mengamalkan kawalan kendiri seperti elakkan ‘oversharing’, hati-hati dalam berkongsi maklumat sulit, jadikan undang-undang sebagai peringatan sebelum mengemaskini pengkongsian dimedia sosial serta sentiasa berwaspada dengan sebarang sumber yang meragukan.
Kita juga perlu sentiasa memeriksa laman web yang ingin di kunjungi, jangan mudah berkongsi maklumat kewangan sendiri serta lindungi maklumat bank kita untuk elak dari menjadi salah satu mangsa penipuan didalam talian ini.
Antara langkah yang boleh diambil sebaik sahaja menyedari anda telah ditipu ialah:
1) Mengambil tingkap layar perbualan dengan penipu.
2) Merekod butiran penipu seperti nombor telefon, no akaun dan gambar.
3) Menyimpan resit transaksi sekiranya pembayaran dibuat melalui pindahan bank.
4) Segera membuat laporan polis dan lampirkan bahan bukti yang telah dikumpul.
5) Menghubungi pihak bank dan maklumkan perkara tersebut.
6) Mendengar nasihat dan saranan pegawai bank.
Berikut adalah gambar sepanjang aktiviti ini dijalankan: